Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Keputusan India menghapuskan status istimewa Kashmir yang ditadbir negara ini menerima kritikan hebat dan ditentang oleh kebanyakan pemimpin India.
Al-Jazeera melaporkan, pengumuman tersebut juga mencetuskan suasana kekacauan di Parlimen India, dengan beberapa pemimpin pembangkang mengutuk keputusan dekri Presiden yang membatalkan Perkara 370 Perlembagaan Persekutuan yang memberi wilayah Jammu dan Kashmir kuasa autonomi khas.
Kerajaan di bawah pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) juga mengusulkan rang undang-undang (RUU) yang mencadangkan Jammu dan Kashmir dibahagikan kepada dua wilayah yang ditadbir secara terus oleh New Delhi.
“Amat memalukan anda menukar Jammu dan Kashmir kepada wilayah bukan entiti,’ kata Ahli Parlimen Kongres, Ghulam Nabi Azad yang berasal dari Kashmir.
Perkara 370 Perlembagaan Persekutuan melarang warga India dari luar wilayah berkenaan daripada menetap secara tetap, membeli hartanah, mendapatkan pekerjaan kerajaan tempatan dan biasiswa pendidikan.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin politik di Kashmir yang ditadbir India termasuk bekas Ketua Menteri, Mehbooba Mufti dan Omar Abdullah yang kini berada di bawah tahanan rumah juga mengkritik keputusan tersebut.
“Keputusan kerajaan yang mengejutkan dan bersifat sebelah pihak dilihat sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diletakkan oleh penduduk Jammu dan Kashmir ke atas India apabila negara itu diserahkan kepadanya pada tahun 1947,” kata Omar dalam satu kenyataan.
Sementara itu, penduduk Pakistan mengadakan bantahan besar-besaran berhubung langkah New Delhi hari ini yang disifatkan Islamabad sebagai tidak sah.
Protes dijangka diadakan di Muzaffarabad, Lahore, Karachi dan ibu negara. – AGENSI
7 Ogos 2019 - 18:03
News ID: 967619

Keputusan India menghapuskan status istimewa Kashmir yang ditadbir negara ini menerima kritikan hebat dan ditentang oleh kebanyakan pemimpin India.